Thursday, October 21, 2010

UUM meterai MOU dengan BSRU Bangkok,Thailand

UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Bansomdejchaopraya Rajabhat University  (BSRU) di Bangkok, Thailand, semalam  bagi membangunkan kepelbagaian aktiviti akademik antara ke dua-dua institusi pengajian tinggi ini.
 
Majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna ini diadakan di kampus induk BSRU yang terletak berhampiran kota Bangkok.
UUM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof.Dr.Mohamed Mustafa Ishak dan disaksikan oleh Prof. Madya Dr.Hisham Dzakiria, manakala BSRU diwakili oleh Presidennya, Prof. Dr.Supol Wuthisen.
 
Turut hadir, dua Timbalan Presiden BSRU, Prof.Dr.Somchai Rassamee dan Prof. Dr.Thong Aim Soonsawad dan beberapa pegawai kanan BSRU.
 
Mustafa berkata, antara bidang yang telah dikenal pasti  untuk berkerjasama dengan BSRU ialah bidang-bidang yang bersesuaian antara kedua-dua universiti, terutama bidang pengurusan. 
 
Katanya, MOU ini akan memberi peluang kepada kedua-dua institusi pengajian tinggi  ini  untuk menjalankan penyelidikan dan perundingan, program silang budaya, pertukaran pelajar dan tenaga akademik, serta melaksanakan kursus-kursus jangka pendek dan panjang yang boleh dimanfaatkan oleh UUM dan BSRU. 
 
Beliau berkata, pihak UUM percaya dengan kerjasama ini akan bertambah erat hubungan kedua-dua  pihak kerana BSRU mampu memberi input yang baik setelah menjadi sebuah universiti yang berusia hampir 150 tahun.
 
Sementara itu, Prof. Dr. Supol Wuthisen pula berkata, BSRU harus mengambil peluang untuk bekerjasama untuk kebaikan bersama kerana UUM adalah sebuah institusi terkemuka dalam bidang pengurusan.
 
Di samping itu, beliau juga  berkata, UUM mempunyai pelbagai program yang baik dan menarik, serta memiliki tenaga pakar dan rujuk yang ramai membolehkan BSRU menjalankan kerjasama dalam pelbagai bidang.
 
Selain itu, katanya keunikan dan kecantikan kampus serta mempunyai prasarana yang baik  di samping lokasi UUM di utara Malaysia adalah merupakan  faktor pendorong kepada kerjasama  ini dijalinkan.
 
“Sebelum ini, kami sudah menghantar seramai 30 pelajar dan staf BSRU yang mengikuti program Fun Bahasa Malaysia Camp bulan Ogos lalu anjuran i-COMTOUR, Training & Consultation, Research Innovation and Management Centre (RIMC) yang merupakan program sulung dilaksanakan bersama UUM,
 
“Hasilnya, kebanyakan mereka melaporkan program ini amat baik sekali dan saya mengharap lebih banyak program lain akan dilaksanakan bersama pada masa akan datang,” katanya.

Habis.


=============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my

No comments:

Post a Comment