Thursday, October 21, 2010

SPAD PERLU TARING BAGI ELAKKAN KECELAKAAN JALAN RAYA

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Muhammad Shamsul Shafie
UUM ONLINE: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu taring untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengelakkan kecelakaan jalan raya.
Bekas Menteri Pengangkutan Dato’ Sri Ong Tee Keat berkata, selagi penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mengikut had laju yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) tidak dilaksanakan maka kecelakaan jalan raya tidak dapat dikurangkan.
“Penguatkuasaan dan tindakan yang tegas harus diambil bagi memberi pengajaran agar korban kecelakaan jalan raya ini dapat dielakkan walaupun tidak dapat diatasi sepenuhnya,” kata beliau kepada lebih 350 pelajar di Dewan College of Arts and Science (UUM CAS), pagi tadi.
Katanya, daripada kajian yang dijalankan 60 hingga 70 peratus kemalangan berpunca daripada sikap pemandu dan selebihnya membabitkan masalah kenderaan dan persekitaran jalan raya oleh itu beliau percaya dengan mengenakan tindakan yang tegas kepada mereka yang melanggar had laju dan lalu lintas ini akan memberi pengajaran dan seterusnya dapat mengurangkan kemalangan.
Dato’ Sri Ong Tee Keat berkata, demikian ketika ditemui diminta mengulas mengenai Tragedi Nahas yang mengorbankan 12 nyawa dan 40 penumpang bas, kereta, van dan seorang penunggang motossikal baru-baru ini di Kilometer 223 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Pedas baru-baru ini.
Beliau yang juga bekas Presiden MCA dijemput bagi berkongsi maklumat dan menceritakan pengalaman beliau sebagai Menteri Pengangkutan.
Antara lain yang telah disentuh oleh beliau ialah mengenai penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam penerbangan awam dan laut.
“Semasa saya menjadi menteri saya telah cuba melakukan beberapa pelaksanaan namun selepas tidak lagi menganggotainya saya masih memberi pandangan sekiranya diminta oleh mana-mana pihak walaupun secara individu,” katanya lagi.
Bagi Ahli Parlimen ini siapa yang menerajui Kementerian Pengangkutan tidak menjadi masalah kerana yang penting bidang keberkesanannya dapat dilaksanakan.
Di majlis itu juga beliau mempelawa pelajar universiti ini untuk melanjutkan pengajian mereka sekiranya berminat dalam bidang logistik dan maritime di The Hong Kong Polytechnic University.
Sementara itu beberapa pelajar yang ditemui berpuas hati dengan seminar yang dianjurkan ini dan berharap lebih ramai lagi mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang-bidang tertentu dijemput agar dapat membuka minda kalangan pelajar kampus ini.
Joanna Oh, 22, berkata, peluang mendapat gambaran daripada mereka yang berpengalaman seperti ini memberikan pengetahuan kepada kalangan pelajar terutamanya kerana sebelum ini mereka hanya mempelajari secara teori sahaja mengenai sesuatu isu.
“Bagi saya pengucapan daripada bekas menteri ini dapat memberi percambahan idea dan sebagai persediaan bagi menjalani latihan praktikal nanti,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Habis.
=============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

No comments:

Post a Comment