Thursday, October 21, 2010

BUAT PhD MENYERONOKKAN – PROF ROSNA

Prof. Dr. Rosna Awang Hashim

Azlinda Sulaiman

Sarah Thangadurai

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Tenaga akademik yang bercadang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang Doktor Falsafah (PhD) daripada universiti ini harus mempunyai keazaman dan melihat pengajian yang akan mereka ikuti itu menguntungkan diri, universiti dan negara.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rosna Awang Hashim berkata, mereka yang akan mengikuti pengajian ini telah mengetahui dengan jelas polisi untuk menghantar mereka, jadi amanah yang telah diberikan itu harus ditunjukkan dengan menyiapkan PhD dalam tempoh yang diberikan.
Beliau juga menekankan supaya mereka lebih bersedia agar perjalanan yang mereka lalui dalam pengajian nanti menyeronokkan.
Prof. Dr. Rosna Awang menambah dalam proses menjadi seorang sarjana, pensyarah yang diberi cuti untuk belajar ini akan mengunakan platform yang diberikan untuk menagih ilmu dan akan berusaha memperbaiki diri sendiri dan menyumbang perkara baharu kepada masyarakat UUM dan negara.
“Pihak universiti terutama Naib Canselor sentiasa memberi sokongan dan galakan kepada tenaga akademik untuk kemajuan diri, universiti dan negara, ini terbukti dengan peluang diberikan kepada mereka untuk memilih mana-mana universiti terbaik di dunia untuk melanjutkan pengajian mereka,” ujarnya di Majlis Taklimat Pengajian Lanjutan kepada lebih 110 tenaga akademik yang hadir di Pusat Konvensyen UUM, baru-baru ini.
Dalam ucapan itu, beliau juga mengharapkan mereka yang akan mengikuti pengajian itu membuat persiapan awal sebelum melanjutkan pengajian agar tidak gagal atau terpaksa melanjutkan masa untuk menghabiskan pengajian mereka.
UUM berhasrat untuk menjadi Universiti Penyelidikan menjelang tahun 2013 dengan mencapai bilangan pensyarah berkelayak PhD seramai 75 peratus.
Untuk itu, pelbagai persiapan dilakukan antaranya mengalakkan tenaga akademik di universiti ini melanjutkan pengajian mereka dalam bidang PhD di mana-mana universiti terbaik di dunia yang menjadi pilihan mereka.
Sementara itu, beberapa pensyarah yang ditemui melahirkan rasa bangga kerana berkhidmat di UUM dan akan berusaha untuk merealisasikan hasrat Jawatankuasa Pengurusan universiti ini.
Pensyarah Program Kerja Sosial UUM CAS, Azlinda Sulaiman, 33, berkata motivasi yang diberikan oleh Prof Dr Rosna untuk membuat persediaan bagi memilih universiti dan menyiapkan pengajian dalam tempoh diberikan merupakan amanat yang amat bermakna bagi mereka.
“Saya dan rakan-rakan lain yang mendengar ucapan daripada Prof Dr Rosna memang berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang PhD namun kami lebih bersemangat apabila mendengar pembabitan kami kelak akan merealisasikan hasrat univesiti untuk menjadi Universiti Penyelidikan pada tahun 2013,” ujar beliau lagi.
Manakala, Sarah Thangadurai, 28, yang memilih Notthingham University untuk pengajiannya berharap dapat mencapai tempoh pengajian yang ditetapkan bukan untuk merebut RM10,000 ditawarkan kepada tenaga akademik yang berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh yang ditetapkan tetapi untuk kepuasan diri sambil membantu universiti untuk mencapai hasrat sebagai Universiti Penyelidikan.
Dalam pada itu Penolong Pendaftar Kanan Mohd Anizam Ariffin berkata, taklimat kepada bakal pensyarah ini diadakan berhubung dengan prosedur dan proses menyambung pengajian lanjutan.
Habis.
=============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

No comments:

Post a Comment