Thursday, October 21, 2010

PM JANGKA LANCAR HIMPUN DI UUM FEBRUARI DEPAN

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Zamarizul Salleh
UUM ONLINE: Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dijangka melancarkan Alumni Patriot Negara (Himpun) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) pada Februari 2011 di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada hujung Februari 2011.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UUM Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid berkata, pelancaran program di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini dijangka membabitkan 4,500 pelajar daripada 20 universiti dari seluruh negara.
Program Himpun dilahirkan hasil perjumpaan dengan semua Timbalan Naib Canselor dari seluruh negara pada 2009 lalu yang membincangkan masalah mengenai patriotisme dalam kalangan pelajar universiti.
“KPT bersetuju dengan langkah untuk memberi penekanan kepada program ini kerana melihat siswa di IPT pada tahun pertama, khususnya dapat dibentuk bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina negara bangsa,” katanya.
Memandangkan mereka ini adalah aset negara, maka didikan dan bimbingan harus diberikan termasuk melatih mereka dalam bidang kepimpinan.
“Kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja tidak mencukupi untuk seseorang graduan dari universiti untuk mendapatkan pekerjaan namun apabila mereka mempunyai pakej yang merangkumi disiplin, aktif dalam persatuan, memahami peranan mereka untuk agama, bangsa dan negara maka pastinya kejayaan akan dikecapi dengan mudah,” kata beliau ketika berucap di Majlis Himpun peringkat utara yang menghimpunkan pelajar seramai 1,500 pelajar dari UUM, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Sementara itu, beberapa wakil peserta Himpun yang ditemui melihat program yang dianjurkan ini memberi suntikan baru terutama kepada generasi pelajar di IPTA.
Noramirah Ghazali, 21, pelajar Kejuruteraan Mekanikal dari UniMAP berkata, pengisian program yang merangkumi jati diri, tanggungjawab sebagai warganegara dan kecintaan kepada agama, bangsa dan negara pastinya akan menjadikan siswa di negara ini lebih dihormati dan bersedia untuk merealisasikan hasrat 1Malaysia.
Kiew Lee Peng, 21, siswi dari UUM berkata, melalui aktiviti yang dijalankan dalam program Himpun itu dapat merapatkan hubungan antara mereka tanpa mengira kaum, bangsa, agama atau negeri.
Manakala, Dhevendran Thanabalan, 21, dari UUM juga berkeyakinan sekiranya program seperti ini diteruskan pastinya keakraban dan hubungan antara kaum di negara ini lebih erat.
“Saya melihat hasil daripada penyertaan saya semasa aktiviti yang dijalankan lebih kepada konsep kerjasama dan mengenali diri dan peranan kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di majlis itu.
Dalam perkembangan yang sama, Fasilitator Himpun, Azizan Husain pula pendedahan pelajar kepada sejarah negara bangsa dan peranan mereka sudah cukup untuk menyakinkan kepada KPT dan kerajaan untuk meneruskan program ini.
Habis.
=============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

No comments:

Post a Comment