Sunday, October 17, 2010

UUM Menempah Nama Di Tanah Palembang



Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menggondol Anugerah Penata Muzik Tari Terbaik dan Anugerah Penata Tari Terbaik sempena Festival Seni Tari Melayu Nusantara 2010 yang di adakan pada 12 hingga 14 Oktober  bertempat di Palembang, Indonesia baru-baru ini.  
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu menampilkan 13 kumpulan yang terdiri daripada setiap provinsi di Indonesia dan juga penyertaan dari Singapura, Brunei dan Malaysia.
UUM berjaya memenangi dua anugerah daripada empat anugerah yang di pertandingkan antaranya Anugerah Penyaji Tari Terbaik, Anugerah Penata Muzik Tari Terbaik, Anugerah Penata Tari Terbaik dan Anugerah Penata Busana Terbaik.
Festival ini di adakan bertujuan menjadi landasan persefahaman budaya serantau dan mengembangkan seni budaya Melayu serta meningkatkan nilai-nilai luhur budaya Melayu itu sendiri.
Menurut Pengarah PBS Huzaidy Haji Hussain, festival seperti ini menjadi pendedahan kepada mahasiswa terhadap budaya seni tari melayu dan meluaskan lagi pandangan dan pengetahuan mereka.
“Ia juga dapat meningkatkan lagi kerjasama antara negara dalam rumpunan Melayu serta meningkatkan apresiasi seni”, katanya lagi.
Program seperti ini dapat menerapkan dan memperkasakan semangat cintakan budaya Melayu yang merupakan elemen penting dalam memartabatkan jati diri masyarakat Melayu masa kini”, tambahnya lagi.
“Festival ini juga bermatlamat sebagai salah satu cara yang dapat mengeratkan persefahaman dan integrasi dalam menjalinkan hubungan yang rapat di antara dua buah negara dan juga sebagai langkah promosi Palembang sebagai tuan rumah Sukan Sea 2011.
“UUM akan terus memberi komitmen dalam mengembangkan kegiatan kebudayaan seperti ini supaya mahasiswa tertanam rasa cinta kepada khazanah budaya Melayu yang semakin dilupakan ini,” katanya.
Jelasnya, ini adalah langkah terbaik yang dijalankan dalam memupuk minat mahasiswa dan masyarakat setempat dan sekali gus menyambut seruan kerajaan dalam memartabatkan khazanah budaya Melayu.

PUSAT BUDAYA DAN SENI
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL : 04-9285851
FAKS : 04-9285826
WEB : http://pbs.uum.edu.my

No comments:

Post a Comment