Thursday, October 21, 2010

PENSYARAH KANAN UUM TERBAIK PhD DI UPM

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Zamarizul Salleh
UUM ONLINE: Pensyarah Kanan, College of Business ( UUM COB ) Dr. Haim Hilman Abdullah, 37,  di anugerahkan graduan Terbaik Doktor Falsafah daripada Graduate School of Management (GSM), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.
Beliau yang sudah menyiapkan PhD dalam bidang Pengurusan Strategik sentiasa menjadi rujukan dari pihak akhbar di negara ini berkaitan dengan isu-isu perniagaan dan juga ekonomi.
Anak kelahiran Tanjung Malim Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Selisek, Hulu Selangor dan Sekolah Menengah Khir Johari Tanjung Malim sebelum melanjutkan pengajiannya di University Portsmouth United Kingdom pada tahun 1996.
Dr. Haim Hilman yang ditemui berkata, kesusahan yang dialami ketika membesar dengan ibu bapa banyak mengajar beliau untuk terus menimba ilmu dan menjadi masyarakat yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
“Sewaktu saya berusia 13 tahun saya telah kehilangan ayah dan dibesarkan oleh ibu dan pendapatan kami bergantung kepada hasil upah menoreh di kebun getah milik penduduk kampung,” katanya.
Sewaktu disekolah menengah beliau terpaksa bekerja kerana ibunya jatuh sakit pada usianya 16 tahun dan berusaha untuk belajar kelas malam sehingga berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia sebelum mendapat tawaran belajar di United Kingdom dengan duit sendiri.
Namun kepayahan yang dilalui ketika kecil dan bekerja sebagai pekerja am sambil belajar ketika menuntut di England membuatkan pensyarah yang telah menghasilkan lima buah buku akademik ini berjaya menghabiskan pengajian beliau.
Beliau juga terbabit dengan pembentangan kertas kerja di seminar-seminar yang diadakan di dalam dan luar negara termasuk Turki dan Australia.
Menyentuh mengenai bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini beliau berkata, keseluruhan bajet itu dapat membantu merangsang ekonomi negara selari dengan dasar kerajaan ke arah Model Ekonomi Baru (MEB).
“Saya lihat kekecewaan mungkin dirasai oleh kakitangan perkhidmatan awam dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam pemberian bonus namun kita perlu menyedari keadaan ekonomi negara sekarang tidak mengizinkannya kerana mengambil kira kewangan negara,” kata beliau.
Dr. Haim Hilman menambah Cuepacs telah berusaha menyampaikan suara majoriti hasrat kakitangan awamnya namun dalam masa yang sama mereka perlu melihat beberapa penambahbaikan dan keistimewaan yang telah dibentangkan dalam bajet itu.
“Disinilah perlunya ada kefahaman dari kedua belah pihak antara kerajaan dan Cuepacs untuk menangani isu-isu berkaitan,”sambungnya.
Setelah menghabiskan pengajian PhD ini, beliau berhasrat untuk bersama-sama universiti ini untuk menuju ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka di dunia.
Menyentuh mengenai peluang yang ditawarkan kepada kakitangan akademik UUM untuk memilih mana-mana universiti terbaik di dunia untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang PhD beliau berkata, ini merupakan langkah yang terbaik bagi melihat kakitangan akademik ini standing dengan universiti di dunia.
Beliau juga berharap dapat menyumbangkan buah fikirannya kepada dunia pendidikan terutama UUM, Kementerian Pengajian Tinggi dan negara ini.
Habis.
=============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

No comments:

Post a Comment