Wednesday, November 3, 2010

UUM Mohon Maaf Tangguh Konvokesyen Ke-23 Sesi 5 dan 6

Oleh Muhammad Amsyari Ismail dan Gan Yong Li
 
UUM ONLINE: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihak UUM mohon maaf kepada graduan dan keluarga masing-masing kerana terpaksa membatalkan Majlis Konvokesyen  Ke-23, Sidang Kedua bagi sesi kelima dan keenam selepas mengambil kira beberapa faktor keselamatan.
Pengurusan UUM membuat keputusan menangguhkan majlis konvokesyen ke-23 disebabkan banjir dan jalan untuk ke UUM telah terputus akibat hujan lebat melanda daerah Kubang Pasu, Padang Terap dan Perlis, sejak dua hari lalu.

“Ramai kakitangan UUM dan majoriti graduan serta keluarga mereka tidak dapat hadir ke konvokesyen ini kerana berdepan masalah akibat banjir di negeri itu.
“Memang sukar untuk  membuat keputusan tetapi selepas diambil kira pandangan dan maklumat daripada polis, pasukan keselamatan dan rakan-rakan sekeliling, kami pihak UUM terpaksa menangguhkan juga konvokesyen sesi kelima dan keenam.
“Kalau diteruskan juga, kami khuatir banyak masalah akan timbul. Memang terdapat segelintir keluarga dan graduan kecewa dengan keputusan ini tetapi  pihak kami perlu membuat keputusan demi kebaikan dan keselamatan semua pihak terbabit,” katanya ketika ditemui ketika meninjau keadan di Dewan Muadzam Shah (DMS).
Mustafa menambah pihak UUM akan memilih satu tarikh lain untuk mengadakan majlis konvokesyen kepada mereka yang terlibat.
“Majlis konvokesyen mungkin akan diadakan dalam masa dua atau tiga bulan dari sekarang. Tarikh masih belum dapat ditentukan namun dewan yang sama akan digunakan,” katanya.
Seramai 1,373 graduan pada hari berkenaan terdiri daripada 831 graduan dari College of Arts and Sciences (UUM CAS) dan 543 dari College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS).
Menurut Mustafa lagi, graduan tidak akan dikenakan caj bayaran dua kali untuk jubah akademik apabila majlis konvokesyen lain diadakan.
“UUM memberi peluang kepada graduan terlibat mengambil transkip dan skrol mereka di Dewan Tan Sri Othman. Mereka juga diberi peluang mengambil gambar di dewan untuk kenangan.
“Kami sudah merancang sebaik mungkin untuk majlis konvokesyen ini tetapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan. Jika diteruskan juga, kemeriahannya tidak sama dan paling utama, keselamatan semua terlibat,” katanya lagi.
Sementara itu, Leng Chih Ying,23,graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, risau apabila hujan tidak berhenti dan tidak dapat tidur lena.
“Saya sedikit kecewa apabila mendapat berita menyatakan konvokesyen sesi kelima dan keenam kali ini terpaksa ditangguhkan. Walaupun kecewa, tetapi saya akur dengan keputusan dibuat selepas mendapat penjelasan daripada Naib Canselor,”  katanya.
Hasrat Mohamed Saballah Taib, 55, untuk melihat anaknya menaiki pentas menerima ijazah tidak kesampaian apabila mendengar berita penangguhan itu.  
“Memang saya kecewa tetapi redha dengan keputusan dibuat pihak UUM demi keselamatan semua terbabit. Saya berharap pihak UUM dapat menentukan tarikh yang lebih sesuai untuik mengadakan majlis konvokesyen ini,” katanya.
 Habis.

================================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

No comments:

Post a Comment